Allah menurunkan bencana ke atas umat manusia berlandaskan banyak faktor, termasuk sebagai menguji keimanan mereka atau menghukum di atas kesalahan yang dilakukan.
Firman Allah bermaksud:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang di berikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap oarng yang sombong lagi membanggakan diri,” (Surah al-Hadid, ayat 22-23)
Dalam satu hadis, Nabi Muhammad s.a.w ada menerangkan mengapa manusia ditimpa bencana. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana. Iaitu:-
1. Apabila kebendaan menjadi matlamat dan tujuan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tidak mentadbir dunia dengan agama Allah dan tidak menunaikan amanah.
2. Apabila zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan (terpaksa.)
3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4. Apabila suami terlalu mentaaiti isteri.
5. Apabila anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6. Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising daripada segala macam sumber ciptaan manusia yang dahagakan hiburan yang melalaikan.
8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hal duniawi dalam masjid.
9. Apabila yang menjadi pemimpin itu ialah orang yang zalim, bukannya orang yang baik.
10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya (zalim).
11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
12. Apabila melanggar larangan memakai pakaian yang dikhususkan untuk wanita. Iaitu memakai pakaian yang diharamkan unrtuk lelaki (memakai sutera).
13. Apabila kaum wanita sanggup menghiburkan lelaki yang bukan mahramnya.
14. Apabila wanita memainkan alat muzik sehingga melalaikan orang lain daripada mengingati Allah dan mencari keredhaan-Nya.
15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu. (Umat sekarang menyalahkan sahabat nabi atau ulama-ulama muktabar yang terdahulu).
Allahuta'ala'alam
No comments:
Post a Comment