13 November 2010

PKR bakal senasib UMNO Lama yang di haramkan dahulu?


PETALING JAYA: Tidak mustahil Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima nasib seperti Umno lama yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988 sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk mengatasi kemelut dalam pemilihan yang sedang berlangsung.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Che Norliah Mustafa kepada FMT hari ini berhubung kecelaruan yang berlaku dalam Pemilihan PKR.

Menurut beliau, setiap individu dalam negara ini bebas berpersatuan seperti yang dijamin dalam perkara 10/1C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, bagaimana pun setiap individu yang berpersatuan itu, tertakluk pula kepada Perlembagaan Pertubuhan yang disertainya.

Tindakan undang-undang boleh diambil

"Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya ada berlaku perlanggaran Perlembagaan Parti PKR itu sendiri ketika pemilihan.

"Jika pihak yang ingin mengambil tindakan undang-undang ini berjaya memperolehi bukti dan saksi apa yang dikatakan pengundi hantu, penipuan dan sebagainya, maka ia boleh terjadi.

"Jika mahkamah mendapati terdapat unsur-unsur penipuan ketika pemilihan berlangsung maka PKR akan menghadapi masalah ketika itu," kata beliau lagi.

Kemungkinan PKR diisytiharkan pertubuhan haram

Dr Che Norliah tidak menolak kemungkinan PKR bakal menghadapi nasib seperti yang menimpa Umno lama yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988.

Sebelum ini, terdapat desas-desus kuat mengatakan sekumpulan ahli PKR dari beberapa cabang PKR seluruh negara mengadakan pakatan sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang didakwa penipuan dalam Pemilihan PKR.

Kumpulan yang mendakwa diri mereka daripada ahli-ahli tidak kurang dari 25 cabang setakat ini dikatakan sedang giat bergerak di Sabah, Kelantan dan dua negeri lagi di utara tanah air bagi mengumpul bukti.

Kumpulan yang dikatakan melibatkan beberapa peguam tanah air ini dijangka akan ‘keluar dari kubu’ mereka apabila semua bahan bukti dan saksi telah berjaya dikumpulkan.

Kes pengharaman Umno 1988

Untuk rekod, pada Jun 1988, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno yang dinamakan sebagai ‘Umno 11′.

Kumpulan ini telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Akibat daripada tindakan kumpulan Umno 11 tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Harun Hashim telah mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram


MalaysiaToday

No comments: