DALAM dunia politik hari ini, berbagai-bagai istilah yang disabitkan dengan pemerintahan telah dicipta oleh manusia, namun kebanyakan mereka bermuafakat tentang istilah, tetapi berbeza pendapat tentang pengertian atau definisinya.
Terdapat pula istilah yang mempunyai makna yang serupa, tetapi mempunyai beberapa perbezaan yang segi amalan dan perlaksanaan.
Malah kadang-kadang terdapat yang bertentangan antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan 'sama tapi tidak serupa'.
Istilah politik itu sendiri, kebanyakan kita sepakat menggunakan namanya tetapi diberi istilah yang berbeza. Contohnya dalam masyarakat Greek digunakan istilah politik sebagai 'anak watan dan hak-haknya dalam negara'. Di waktu lain mereka menggunakan istilah politik sebagai pemerintah yang sedang menjalankan urusan pemerintahannya dan terdapat yang menggunakan istilah itu sebagai polisi negara dan tipu muslihatnya.
Dalam sistem kita hari ini itulah yang berlaku, iaitu kita menerimapakai istilah politik tetapi memberi pengertian yang berbeza. Ada antara kita yang merujuk politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan kepada dasar dan polisi sesebuah negara, ada yang merujuk kepada suatu kaedah yang dipergunakan oleh pemerintah sebuah negara dan hubungannya dengan negara lain. Politik juga dikaitkan dengan kelicikan dan maslahat sesuatu tindakan.
Kalaulah istilah politik itu sudah bercelaru apatah lagi dengan istilah demokrasi yang sama istilahnya tetapi mempunyai pengertian yang amat berbeza. Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang dipilih rakyat melalui wakil-wakil mereka. Ada yang mengatakan pemerintahan rakyat untuk rakyat dan tidak kurang yang mengatakan demokrasi itu adalah kuasa rakyat untuk rakyat.
Kalau itulah realitinya, maka demikian pula dalam menggunakan istilah Negara Islam, memang sesuatu yang telah menjadi lumrah dan dipergunakan secara berleluasa oleh banyak pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN). Namun apakah pemahaman sebenar mereka terhadap penggunaan istilah Negara Islam itu? Mereka begitu mudah menerimapakai istilah Negara Islam dengan hanya merujuk kepada pemerintah dan majoriti rakyatnya beragama Islam.
Jika itulah pemahaman mereka, maka seluruh negara umat Islam hari ini terutamanya yang menganggotai Persidangan Negara-negara Islam (OIC), tanpa kecuali semuanya adalah Negara Islam. Akan tetapi realitinya tidak demikian kerana negara yang mengistiharkan mereka sebagai Negara Islam hanya beberapa buah sahaja, namun boleh dipertikaikan adalah mereka itu Negara Islam sebenar. Istilah Negara Islam sebenar tidak boleh lari dari apa yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Negara Islam yang ulung ditubuhkan di Madinah dalam tahun 623M bersamaan dengan tahun ke 2H.
Negara Islam Madinah adalah contoh benar yang perlu difahami dan dihayati maknanya. Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, mafhumnya:
"Sesungguhnya telah ada pada perbuatan Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik bagimu..."
Sebagai muslim, tiada contoh yang lebih baik dalam lapangan kehidupan melainkan yang diambil dan ditiru dari perbuatan Rasulullah. Dalam hal ketatanegaraan, Nabi Muhammad telah menunjukkan contoh seperti yang diperintah kepadanya oleh Allah SWT. Dengan sifat-sifatnya yang jelas seperti yang ditunjukkan dalam Surah al-Hajj, ayat 41 yang mahfumnya:
"Orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di muka bumi (pemerintah Negara Islam), mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari perbuatan mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan (berserah dan bertawakkal)."
Ayat ini, jika dirujukkan kepada tafsir al-Quran yang muktabar, diberi pengertian yang mendalam dengan merujuk kepada makna yang falsafi di setiap perkataan ayat itu.
Dalam tafsir al-Maraaghi misalnya, perkataan mendirikan solat, dihurai sebagai mentaati perintah Allah SWT dan melaksanakan hukum-hukum Islam dengan sebaik mungkin.
Solat itu sendiri adalah lambang kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, meskipun perintah solat itu tidak difahami bersungguh-sungguh seperti mengadap kiblat, mengangkat tangan takbir, qiam tangan, tunduk rukuk, bangun, sujud dan sebagainya, tidak semestinya difahami tujuan perbuatan itu dipatuhi, namun solat seperti yang diperintahkan Allah mesti dilakukan sepenuhnya.
Sekiranya sengaja meninggalkan satu rukun sahaja, maka tidak sah didirikan solat itu. Lambang pemerintah bersolat adalah lambang kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, baginda Rasulullah s.a.w telah melakukannya. Negara Islam Madinah telah melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, meskipun baginda sedar bahawa masyarakat Madinah bukannya Islam sahaja tetapi masyarakat majmuk. Namun Islam tetap ditegakkan dengan tidak ada alasan untuk berdolak dalik. Negara Islam mestilah menyanjung perintah Allah dengan sebaik mungkin.
Mengeluarkan zakat diertikan dengan penjagaan rakyat sebaik mungkin dengan mengajak mereka mentaati perintah Allah, mencegah dari melakukan syirik dan perkara-perkara kejahatan. Ia juga bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat bawahan untuk mengatasi masalah mereka kerana falzafah zakat adalah jelas seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, "Ambillah dari mereka yang berada (kaya) untuk dibahagikan kepada golongan yang tidak berada (susah).
Kerana itulah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, memandang serius masalah zakat ini, sehingga semasa beliau memerangi mereka yang enggan membayar zakat sehingga mereka tunduk semula kepada hukum Allah. Ini adalah keperluan dan kemaslahatan ummah yang wajib dijaga dengan sebaik-baiknya. Seterusnya, pemerintah Islam hendaklah menegak yang maaruf dan membasmi yang mungkar. Apalah ertinya Negara Islam jika pemerintahnya asyik memerangi yang maaruf dan menegakkan yang mungkar.
Perkara maaruf yang jelas ialah seperti melaksanakan hukum-hukum Allah, seperti yang terkandung dalam hukum hudud, qisas, takzir dan sebagainya. Hukum menutup aurat tidak boleh dipandang ringan dan remeh seperti yang ditunjukkan Allah dalam Surah an-Nur ayat 31 dan telah dilaksanakan oleh baginda Rasullah dengan sepenuhnya.
Perkara mungkar adalah jelas seperti arak, judi, pembinaan tugu, tenung nasib, adalah di antara yang nyata mungkarnya berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 90. Semuanya wajib dibasmikan termasuk mungkar-mungkar lain.
Bagaimana boleh wujud dalam Negara Islam perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan hukum Allah, bolehkan Negara Islam mempertahankan hal-hal yang sedemikian yang seolah-olah mencabar hukum Allah, atau sekurang-kurangnya melawan hukum Allah dengan keengganan mematuhinya.
Menentang dan melawan hukum Allah, telah dijelaskan hukumnya oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 63 yang mafhumnya:
"Tidakkan mereka mengetahui bahawa mereka yang menentang hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka Jahanam lah tempat balasan, mereka kekal abadi di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang amat besar."
Negara Islam adalah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT, menyanjung dan melaksanakan hukum-hukum Allah dan mencari jalan sebaik mungkin dengan menyakinkan semua pihak muslim dan non-muslim bahawa syariat Allah adalah untuk kebaikan insan sejagat.
Pemerintah Islam tidak seharusnya mencari alasan yang tidak munasabah untuk sengaja memerangi maaruf dan menegakkan kemungkaran.
Pemerintah Islam bertanggungjawab meyakinkan semua pihak bahawa Islam itu agama Allah dan hukum-hukum Islam itu didatangkan oleh Allah kepada manusia untuk kesejahteraan sejagat.
Akhirnya, negara Islam berpandukan kepada Surah al-Hajj ayat 41 yang saya telah huraikan tadi, adalah negara yang bertawakkal kepada Allah, bergantung dan berserah diri kepada-Nya setelah sesuatu tindakan dibuat dengan rapi berdasarkan perintah Allah, maka Allah lah yang akan menentukan segala-galanya.
Oleh yang demikian, maka suburkanlah jiwa bertawakkal kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya demi melaksanakan perintah-perintah bagi menuju dan menghasilkan sebuah negara yang aman bahagia di samping Allah yang Maha Pengampun.
Oleh: Tuan Guru Dr.Harun Din
Komentar: Rata-rata rakyat Malaysia beranggapan Malaysia sebuah negara Islam..walhal dari penerangan di atas ini, jelas sesebuah Negara Islam itu lebih mengutamakan isi atau 'substance' , di mana segala peraturan dan undang-undang yang di guna pakai di dalam sebuah negara Islam itu haruslah mengikut undang-undang dan peraturan yang di tetap dalam Islam. Ini perkara asas dan penting dalam sebuah negara yang benar-benar di istilahkan sebuah negara Islam..emm..bila dibandingkan dengan Malaysia, jauh panggang dari api,sungguh menyimpang dan boleh di katakan 'sesat' apabila di katakan Malaysia sebuah negara Islam..anda sendiri mampu menilai..
No comments:
Post a Comment