"Andaikata dikumpulkan semua Iman manusia di muka bumi ini, nescaya tidak mampu untuk menandingi Iman Abu Bakar"
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran buat Tuhan Pemilik Alam atas ketinggian Rahmat dan Maghfirah yang d kurniakan kepada kita. Marilah sama-sama kita bertakwa ke hadrat Allah dengan sebenar-benar, kerana dengan hiasan takwalah kita akan selamat baik di dunia mahupun di akhirat iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangan-Nya.
Sebagaimana yang telah menjadi kelaziman seluruh umat Islam, apabila menjelang tarikh 27 Rejab setiap tahun akan diadakan berbagai-bagai acara sambutan memperingati peristiwa agung iaitu peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. Di Malaysia ini juga tidak ketinggalan dalam menyambut dan merayakannya sebagai ingatan kita kepada peristiwa agung itu.
Sempena memperingati hari dan bulan yang mulia lagi mempunyai kelebihan ini, seharusnya kita jadikan sambutan dan perayaan ini dalam kita memperingati peristiwa ini dengan memperbaharui taat kita terhadap perintah Allah dengan bersegera meninggalkan larangan serta membersihkan segala amalan-amalan kita dari sifat-sifat yang keji dan buruk. Agar amalan-amalan itu benar-benar bersih untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t kelak.
Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj ini, keimanan kita akan bertambah, perasaan takut dan takwa kian menebal di hati kita, secara tidak langsung peristiwa ini dijadikan sebagai satu peristiwa teladan dalam membentuk kehidupan manusia yang benar-benar berdasarkan kepada agama Islam.
Rasulullah s.a.w dalam perjalanan Israk dan Mikraj telah banyak menyaksikan beberapa kejadian aneh lagi pelik dan ajaib. Kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa tersebut tidak lain tidak bukan untuk menggerakkan hati kita agar bertakwa dengan merasakan kehebatan Allah 'menciptakan' peristiwa tersebut, ia juga sebagai gambaran kepada manusia melalui perantaraan Rasulullah s.a.w dalam suatu plot cerita atau perjalanan malam tersebut, bagaimana azab siksa atau ganjaran nikmat yang di berikan Allah kepada mereka yang beriman atau mereka yang berlaku ingkar di dunia.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati sebenar-benarnya, kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi s.a.w ketika itu langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi apabila Nabi menceritakan peristiwa ini kepada mereka. Sekali lagi ia bertujuan untuk 'menyukat' tahap iman kita.
Golongan orang-orang kafir tidak percaya kerana pada pemikiran mereka yang cetek itu amat mustahil Nabi s.a.w dapat berjalan Israk dan diangkat Mikraj di dalam waktu begitu singkat iaitu cuma sepertiga malam sahaja. Pada hal perjalanan yang begitu jauh jaraknya iaitu dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidilaqsa di Palestin. Kemudiannya pula dimi'rajkan ke langit tujuh. Menurut dakwaan mereka yang demikian itu adalah suatu yang tidak masuk akal jika dilakukan oleh manusia seperti Nabi s.a.w. - Sesungguhnya ia sesuatu yang amat mudah bagi Allah.
Bagi mereka yang beriman, dengan penuh yakin menyatakan bahawa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w itu adalah berlaku dengan jasad dan roh Baginda. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah yang telah di tunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda s.a.w.
Salah satu ibrah atau pengajaran dari kisah Israk dan Mikraj ini adalah untuk mendidik umat Islam menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan hayatnya menurut apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t, Tuhan yang mencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Iaitu kehidupan yang berkebajikan dan bermanfaat di dunia dan di akhirat. Dalam sejarah perkembangan umat Islam, musuh-musuh agama Islam bekerja keras untuk memesongkan akidah dan pegangan hidup umat Islam dengan tujuan untuk membawa kehancuran kepada kehidupan yang mendokong ajaran Nabi s.a.w.
Kejadian Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w ini juga mengandungi lautan hikmah andai umat Islam itu mampu dan mahu merenung secara teliti dengan menggunakan akal fikiran anugerah Allah. Namun hakikatnya kebanyakan manusia tidak mengambil perhatian dan ingatan Allah melalui pancaindera yang Allah kurniakan. Sehingga Allah telah menempelak mereka yang tidak menggunakan pancaindera untuk melihat kebesaran Allah ini dengan menyamakannya seperti binatang ternakan, malah menjadi lebih rendah lagi martabatnya.
Justeru itu perbanyakkanlah amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan ini iaitu bulan Allah dan seterusnya di bulan-bulan yang akan datang. Mudah-mudahan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita buat dan terhindar diri daripada azab seksa sepertimana yang telah diperlihatkan oleh Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w. Wallahu'alam.
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Al-Isra' 1
No comments:
Post a Comment