07 July 2009

Pemuda dan Perubahan

(gambar hiasan)

Almarhum Ustaz Fathi Yakan pernah menyebut suatu perihal mengenai pemuda. Jika kita membuka mata dan minda kita mengenai perihal pemuda, semestinya akan terbit suatu agenda yang sering dikaitkan dengan golongan pemuda. Iaitu Perubahan

Dalam konteks kita sebagai orang Islam, yang menyakini Islam sebagai suatu cara hidup. Apakah perubahan yang harus dibawa? Persoalan ini seharusnya mudah dijawab dengan suatu cita-cita golongan pemuda-iaitu perubahan Islam. Bagaimana cita-cita perubahan Islam ini dapat dihubung kaitkan dengan pemuda.

Jika dilihat melalui logik Islam, penekanan agenda Islam oleh golongan pemuda tidak bermaksud untuk melupakan peranan golongan selain pemuda, golongan vateran/tua, orang dewasa mahupun kanak-kanak. Ia tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan atau memperkecilkan peranan golongan-golongan ini, seperti mana fahaman Korainisme yang menuntut agar dihapuskan golongan tua yang dianggap membebankan negara.Tidak sama sekali. Islam sendiri tidak berdiskriminasi atau membezakan terhadap golongan muda dan tua. Bahkan semua manusia itu sama sahaja pada pandangan Tuhan.

Islam telah menjelaskan bahawa setiap golongan manusia itu ada peranan masing-masing, ada peranan yang menuntut kepada hak dan ia perlu dimainkan tanpa ada rasa sensitif atau penentangan dari mana-mana pihak. Ini kerana, Allah merahmati mereka yang mengenal diri dan memahami peranan yang harus dimainkan oleh mereka, kerana mereka sedar akan batas-batas dirinya dan mereka melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Sesungguhnya tidak tergolong sebagai seorang Islam yang mu’min andai dia tidak menghormati orang tua dan tidak mengasihi kanak-kanak. Kebenaran itu harus diterima semua golongan hatta ianya keluar daripada tubuh seorang tua mahupun seorang kanak-kanak kecil. Meskipun begitu, hal kebatilan, andai ia keluar dari tubuh seorang tua atau kanak-kanak harus ditolak walaupun mereka sangat menghormati dan menyayangi golongan-golongan ini.

Islam, sangat menitik beratkan soal pemuda. Peranan yang membawa kepada matlamat perubahan. Terutama pemuda Islam. Iaitu perubahan Islam. Namun sebelum melaksanakan perubahan Islam, harus terlebih dahulu dipastikan acuan-acuan pemuda-pemuda ini adalah mengikut acuan Islam yang tulen dari semua aspek. Termasuk juga kepada si-pemuda. Acuan Islam sebagai sifat yang membawa jati diri Islam dalam diri. Memahami prinsip Islam dan berpegang teguh dengannya sebelum membawa suatu perubahan kepada Islam.

Perubahan Islam yang bagaimanakah yang harus dimainkan oleh golongan pemuda ini? Apakah ciri-ciri perubahan itu. Kita harus fahami hakikat bahawa Islam yang tulen tidak memerlukan perubahan. Ianya akn terus kekal tulen seperti keadaan asalnya diturunkan.

Islam itu bersifat ’merubah’. Merubah disini tidak sesekali bermaksud memperbaiki atau menempel. Ia tidak rela kepada suatu penyelesaian yang separuh-separuh atau juzuk-juzuk. Kerana ’perubahan’ jenis ini telah meng’hodoh’kan lagi ke’cantik’an Islam. Begitu juga manhaj atau dasar ’merubah’ dari Rasul. Manhaj Rasulullah s.a.w dalam menghadapi jahiliyyah adalah bersifat ’merubah’ (taghyir). Sebagai contoh sirah nabi, bagaimana kaum kafir Quraisy yang cuba ber’kompromi’ dengan baginda untuk meminta baginda menyembah berhala sebulan, kemudiannya menyembah Allah sebulan. Sebagai balasan dengan tindakan tersebut orang kafir Quraisy akan menyembah Allah kemudiannya. Sesungguhnya telah jelas firman Allah:

Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." Al-Kafirun 1-6

Sebenarnya, suatu cita-cita perubahan yang dibawa oleh golongan pemuda ini adalah suatu persiapan. Yakni persiapan untuk melaksanakan matlamat tercapainya Penguasaan (Qawamah) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Inilah peranan pemuda dalam membawa agenda perubahan bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan Jahiliyyah ke tangan Islam. Iaitu merangkumi perubahan dari pemikiran, perundangan dan akhlak Jahiliyyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam.

Tujuan manhaj atau dasar perubahan Islam itu adalah untuk membawa kepada ’ubudiyah’ manusia kepada Allah dalam segala hal hidup. Ia juga bermaksud dengan meruntuhkan pusat-pusat kejahiliyyahan yang melanda umat Islam samada dari aspek pemikiran, perundangan dan akhlak seorang Islam. Begitu juga tamadun materialisma yang semakin pesat membangun tanpa ada asas agama yang konkrit dalam segala aspek kehidupan. Ia perlu diruntuhkan.

Perubahan ini suatu perkara yang wajib (dharuri) terutamanya kepda para pemuda Islam di zaman gelombang jahiliyyah yang semakin besar. Gelombang materislisme, hedonisme, atheisme (secara halus) yang mengancam kewujudan Islam. Persiapan dan keperluan yang cukup bagi para pemuda melaksanakan perubahan merupakan suatu tanggungjawab agama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudahkan. Ia merupakan suatu falsafah perubahan dalam Islam yang sama sekali berbeza dengan falsafah selainnya yang berputar-belit. Falsafah yang pernah diungkap oleh Rubi’e b Amir kepada Rustam, ketua anggkatan Parsi, setelah ditanya mengenai tujuan tentera Islam mara menentangnya:

Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepda dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepda keadilan Islam. Maka kami diutus dengan agama Allah kepda makhlukNya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, maka kami menerima mereka dan meninggalkan mereka ditanah air mereka dan sesiapa yang enggan maka kami perangi sehingga kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan

Inilah persediaan yang harus dimainkan oleh pemuda Islam pada hari ini. Iaitu peranan merubah. Ia suatu peranan yang amat sulit dan berat. Maka sewajarnya persediaan yang harus dilakukan juga hendaklah sesuai dengan tanggungjawab dan bebana yang digalas tersebut. Persediaan itu haruslah bersifat sempurna-menyempurnakan. Iaitu merangkumi segala sudut persediaan, iaitu dari sudut pemikiran, kejiwaan, pergerakan dan sebagainya. Selain itu, persediaan yang seimbang harus dipersiapkan, iaitu dengan menitik beratkan setiap sedut dengan kadar yang sepatutnya. Tidak berlebihan atau kurang. Dan yang terpenting ia haruslah bersifat praktikal, mampu dilakukan, bukan sekadar teori semata-mata.

Akhirnya, sebagai seorang pemuda, peranan kita pada hari ini merupakan suatu peranan dan tanggungjawab yang sangat besar, malah penuh dengan onak dan duri. Tanggungjawab menegakkan Islam dalam realiti kehidupan manusia sebenar memerlukan kepada generasi Al-Quran yang baru dengan mengikut generasi Al-Quran yang pertama. Sesungguhnya pertolongan Allah itu akan tiba pada hari tersebut dan beregembiralah bagi orang-orang yang terpilih di dalam golongan tersebut. Wallahu’alam

”Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk” Al-Kahfi 13

(itulah pemuda Ashabul-Kahfi)

No comments: