09 July 2009

Kesan PPSMI pada pemimpin BN

Pejuang Bahasa


Komen A. Samad Said mengenai pemansuhan PPSMI (sumber:HarakahDaily)


KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menganggap kerajaan hanya menangguhkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan memansuhkan terus dasar gila tersebut.

Beliau juga menegaskan tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan.

Pengumuman Menteri Pelajaran, tegas beliau, bersifat mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai dan juga pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika Perdana Menteri keempat dahulu mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa Perdana Menteri keenam perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?" soal beliau.

Pak Samad juga menegaskan perjuangan untuk melestarikan bahasa Melayu akan tetap diteruskan biarpun beliau merasa lega dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Tegas beliau lagi, demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya.

"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam dewan rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," tegas beliau dalam satu wawancara yang diadakan dengan Harakah yang akan disiarkan dalam keluaran akan datang.

Semalam, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


p/s: Aku merasakan kesan perlaksanaan PPSMI ini bukan sekadar hanya memberi kesan kepada murid-murid sekolah dan guru-guru pengajar. Rupa-rupanya ia turut berjangkit kepada pemimpin kerajaan UMNO/BN yang sendiri melaksanakan PPSMI ini.

Buktinya..adakah sama perkataan MANSUH dan TANGGUH..?

anda (dan aku) pasti mudah untuk membezakan kedua perkataan ini. Tetapi bagi pemimpin BN, ia suatu yang complicated dan rumit untuk dibezakan. Rupa-rupanya MANSUH ini bagi fahaman mereka diertikan dengan TANGGUH. Ya, semuanya disebabkan terlalu 'taksub' dengan PPSMI. Hilang nilai kefahaman terhadap bahasa Melayu..akhirnya jadilah mereka seperti SARKIS akibat 'buta huruf' terhadap bahasa Melayu.





No comments: