01 July 2009

Perkongsian : Tahalluf Siyyasi


Hari ini merupakan hari pertama aku memulakan training di Malacca Industrial Skills Development Centre (MISDEC). InsyaAllah ianya merupakan satu permulaan bagi aku merancang masa depan. Setelah sebulan lebih menjadi 'penggangur' yang tidak tegar. Secara asasnya memang ia sesuatu yang baru bagi aku memandangkan perancangan asal aku untuk tidak berkerja di Melaka. Walaubagaimanapun setelah di 'brainwash' dan di 'clorox' kepala otak aku oleh 'seseorang-seseorang'. Maka perubahan telah dibuat.

Maka dengan rasa sedar dan faham (bukan terpaksa), aku membatalkan niat dan tindakan. Alhamdulillah, mudah-mudahan ia keputusan yang tepat dan terbaik. InsyaAllah ia memang keputusan yang tepat dan terbaik memandangkan keadaan Melaka yang kucintai ini sangat mendesak dan sangat memerlukan penggunaan man-power bagi gerak kerja Amal Islami. Agar Islam dapat memerintah bukan Islam diperintah...di Melaka. Walaubagaimanapun, aku tidak berniat untuk menceritakan panjang lebar kisah hidup aku di blog ini (tak de maknanya), kerana banyak lagi agenda yang lebih penting dan segera yang perlu kita laksanakan. W'A

Jadi, beberapa hari lepas aku telah menghadiri satu Bengkel Strategik. Antara isi tajuk kuliah adalah berkaitan Tahaluf Siyyasi yang di bentangkan oleh seorang ustaz yang dijemput. Antara isi kuliahnya:


Tahalluf Siyaasi antara agama: sejauh mana hadnya?
(please, no compromise with Israel/Jews)

DEFINISI TAHALLUF SIYAASI:

1. Tahalluf adalah istilah politik Islam bermaksud berpakat atau bermuafakat untuk mencapai dan menjayakan kepentingan bersama dalam membina negara atau mendapatkan kuasa.

2.Tahalluf adalah suatu perjanjian persefahaman untuk berkerjasama dan bantu membantu untuk menghadapi lawan (Siyaasi : berkaitan politik/siasah). Boleh berlaku di bawah beberapa situasi berdasarkan sirah Rasulullah dan para sahabat:-

SEJARAH TAHALLUF :

- Antara kumpulan Islam seperti perjanjian dengan puak Aus dan Khazraj.
- Golongan bukan Islam seperti persefahaman antara Rasulullah dengan golongan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutolib sebelum hijrah. Juga perjanjian antara Rasulullah dengan Kabilah Khaza’ah selepas perjanjian Hudaibiyah.
- Sesama golongan jahiliyah yang bersatu untuk menentang kezaliman iaitu peristiwa melibatkan seorang lelaki dari kabilah Zabid telah dizalimi oleh Al-A’as bin Wasil. Beberapa orang bangsawan Mekah yang bersimpati membuat persepakatan perfahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang sebarang bentuk kezaliman. Berhubung ini Rasulullah bersabda:-
Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah suatu pakatan yang aku sangat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah. Kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam nescaya aku menyahutnya
(peristiwa Hilful Fudhul Riwayat Ibn Ishaq)

KAEDAH HUKUM & SYARAT-SYARAT TAHALLUF

1) Membawa Maslahah dan Tidak Mengikat Sehingga Menjejaskan Prinsip

- Dalil 1 : Hubungan Rasulullah dengan keluarga dari kalangan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutolib khasnya Abu Tolib. Walaupun mereka tidak Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah dengan bersedia berkorban apa sahaja. Tetapi apabila Abu Tolib cuba memujuk Rasulullah dengan tawaran golongan bangsawan Quraisy agar baginda bertolak ansur, maka dengan tegas baginda bersabda dengan sabda yang mashyur:-
Wahai bapa saudaraku. Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkankannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamanya ataupun aku mati kerananya”.

- Dalil 2 : Hubungan antara Abu Bakar dengan Ibnu Dugnah yang sedia memberikan perlindungan kepadanya terpaksa dibatalkan apabila Ibnu Dugnah mensyaratkan kepada Abu Bakar agar jangan membaca al-Quran di luar rumah kerana boleh mempengaruhi orang lain.

MASLAHAH YANG DIIZINKAN

1. Ke Arah Kedaulatan Islam dan Perlaksanaan Syariat ( contoh isu pembuangan perkataan Bismillah & Rasulullah dlm Piagam Madinah)

2. Menentang Kezaliman, Penyelewengan dan Keruntuhan Moral (Dalilnya ialah persetujuan Rasulullah terhadap Persefahaman Pakatan Menentang Kezaliman Semasa Zaman Jahiliyah seperti sabda Rasulullah:-
Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi

3. Mawaada'ah

Disana terdapat persefahaman sementara waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan Mawada’ah dan ada juga ulamak yang meletakkannya dalam perkara Hadanah (Gencatan Senjata)

4. Istiaa'nah (Meminta bantuan atau pertolongan)

Apabila adanya persefahaman maka berlakulah tolong menolong yakni mereka berjanji untuk menolong kita dan kita juga berjanji untuk menolong mereka dalam perkara yang diizinkan syarak tanpa mengorbankan prinsip dan dasar Islam

KESIMPULAN

Tahalluf itu boleh dibahagikan menurut keadaan berikut, jika:-

1- Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:-
- Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
- Mengiktiraf negara Islam
- Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2- Tanpa Membentuk Negara:-
- Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang besar
- Maslahah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan membebaskan orang tahanan tanpa diadili dan seumpamanya
- Berlindung sementara di masa lemah
- Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan harakah Islamiyah

Wallahu'alam. semoga sedikit maklumat ini kita dapat fahami dan sebaiknya kita sampaikan kepada orang lain.


1 comment:

ijad said...

bagus blog ni....