18 March 2010

Anwar vs Zahrain di Parlimen


SAYA tidak pasti apakah Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyaksi Buletin Utama TV3 sekejap tadi yang menyiarkan sedutan gelagat serkas ahli parlimen di dalam parlimen hari ini. Kalau baginda lihat apakah agaknya perasaan baginda. Kelmarin semasa menyampaikan titah ucapan merasmikan sidang parlimen baginda menasihat supaya ahli parlimen menjaga tata tertib dan kelakuan.


Apa yang dipamerkan oleh TV3 sekejap tadi seolah sengaja untuk memberi tahu kepada Yang Dipertuan Agong dan seluruh rakyat negara ini bahawa itulah hakikatnya. Suasana dalam parlimen lebih teruk dari pasar ikan. Ahli Dewan bukan saja melalak dan melaung macam kera kena belacan tetapi ada yang menjerit-jerit macam terkena histeria atau gila babi.

Perangainya lebih buruk daripada budak lapar susu dan gelagat mereka tidak melayakkan mereka untuk duduk di kerusi empuk dalam parlimen. Terasa sia-sia sahaja rakyat memilih mereka untuk berada di situ.

Semuanya ia bermula apabila seorang ahli parlimen yang baru menjadi bebas dan menang atas simbol PKR mengecam Anwar Ibrahim habis-habisan. Ahli parlimen itu mendedahkan bagaimana Anwar memperdayakan beliau dan ahli parlimen PKR lain berhubung dengan projek 16 September untuk mengambil alih kerajaan.

Sungguh tidak malu dan tidak ada maruah ahli parlimen itu, menang atas parti PKR kemudian membelah penasihatnya. Kalau benar kita jujur, ikhlas dan ada intergriti letak jawatan dan masuklah ke parlimen untuk membelasah Anwar atas kekuatan diri sendiri.

Pendedahan yang dikira di luar konteks itu dan tidak menyentuh titah ucapan Yang Dipertua Agong menyebabkan Anwar bangkit mempersoalkannya. Anwar kurang senang dengan apa yang diucapkan oleh ali parlimen berkenaan yang dianggap melampau dan cuba menghinanya dan juga merendahkan martabat parlimen.

Ketua pembangkang itu cuba meminta laluan bagi menjawab apa yang diperkatakan ahli parlimen berkenaan tetapi tidak diberikan peluang. Kecewa dengan apa yang berlaku Anwar bertindak meninggalkan Dewan. Wajar kalau Anwar mengambil sikap itu kerana semangat bermesyuawarah yang sepatutnya dipraktikan dalam parlimen tidak ada lagi. Tidak ada guna beliau melayan gelagat beruk dan kerana kerana gelagat itu juga boleh berjangkit kepadanya.

Ketika inilah juah menjuah dan memperli Anwar kedengaran macam dalam pasar. Beberapa ahli parlimen khasnya BN jadi sudah tidak siuman lagi kerana melihat ketua pembangkang sudah dibalun secukupnya oleh ahli parlimen dari utara itu. Perasaan kemanusiaan dan profesional sebagai seorang ahli parlimen langsung tidak ada lagi.

Ikhlas saya kata saya malu melihat gelagat dan aksi yang ditunjukkan itu. Tidak kira siapa yang melakukan samada ahli parlimen pembangkang atau pun parti UBN. TV3 juga satu hal, sudah gila sehingga tidak tahu lagi untuk menilai mana news value yang menempati cita rasa orang Melayu Islam atau pun tidak. Kalau TV3 juga masih waras ia tidak menyiarkan sedutan seperti itu kerana ianya hanya memalukan. Iya... memalukan.

Usahlah kita cuba nak meniru laporan bebas melampau media massa barat berhubung sikap biadab dalam parlimen. Padan patutlah sebab apa yang disiarkan itu turut sama ditonton oleh kanak-kanak. Bagaimana kita hendak membentuk mereka menjadi insan yang menghormati orang, timbang rasa dan kasih sesama sendiri kalau perangai pemimpin mereka macam tahi buruknya.

Tidak kelihatan pula dalam sedutan itu ada ahli parlimen Cina yang bangkit melalak dan melaung. Semua yang bangun adalah para penyokong kerajaan terdiri dari ahli parlimen Melayu saja. Nampaknya Melayu kalau melanyak Melayu memang hebat dan nombor satu. Maaflah!

Sumber:
http://msomelayu.blogspot.com

p/s: Pasar borong ahli parlimen..

1 comment:

Raja Ban Jir Bin Tengku Juh said...

hahahah...
parlimen vs katak lompat...
hahahhahaha